PETALING JAYA – Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku terhadap lapan negeri sehingga 3 petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan cuaca buruk dijangka berlaku di negeri Kedah (Langkawi, Kulim dan Bandar Baharu) dan di Pulau Pinang (Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Sementara di negeri Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang).
“Tiga negeri Pantai Timur diramal hujan lebat di beberapa kawasan. Negeri Kelantan (Jeli dan Gua Musang), Terengganu (Hulu Terengganu dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron),” katanya.
Jelasnya, cuaca tidak menentu tersebut melibatkan negeri Melaka di daerah Jasin manakala Johor, di kawasan Tangkak.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. -KOSMO! ONLINE.