PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU(PBB), New York – Sejumlah 50 buah negara menandatangani kenyataan mengutuk pencabulan hak asasi manusia secara sistematik dan serius di rantau Xinjiang, China yang dibacakan semasa perbahasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
“Kami amat bimbang tentang situasi hak asasi manusia di Republik Rakyat China khususnya pencabulan hak masyarakat Uighur dan etnik minoriti Islam lain di Xinjiang,” kata kenyataan dibacakan oleh Kanada semasa perbahasan Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB.
Jawatankuasa berkenaan bertanggung jawab memantau hak asasi manusia.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) pada Ogos lalu, menerbitkan laporan yang ditunggu-tunggu tentang Xinjiang. Ia menyebut tentang jenayah kemanusiaan terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain di rantau barat China itu.
Beijing menolak tuduhan OHCHR dan berkata, pihaknya memerangi keganasan serta memastikan pembangunan di Xinjiang.
“Pencabulan hak asasi manusia secara serius dan sistematik bukan justifikasi kepada langkah anti keganasan. Berdasarkan penilaian OHCHR, kami bimbang kerana China enggan membincangkan penemuan kami,” tambah kenyataan sama.
50 negara yang menandatangani kenyataan OHCHR itu termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis, Australia, Israel, Turki, Guatemala dan Somalia.
Mereka menggesa Beijing melaksanakan cadangan seperti dinyatakan dalam penilaian OHCHR termasuk membebaskan segera semua tahanan di Xinjiang dan mendedahkan nasib serta keberadaan anggota keluarga yang hilang.
Awal Oktober lalu, China berjaya mengelakkan perbincangan mengenai laporan OHCHR di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva selepas majoriti 47 negara anggotanya menyekat permulaan perbahasan tersebut.
Kelmarin badan bukan kerajaan antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menggesa Majlis Hak Asasi Manusia PBB supaya sekali lagi mengadakan perbahasan berkenaan dan seberapa segera yang boleh.
“Jelas bahawa momentum diplomatik semakin meningkat supaya Beijing dipertanggungjawabkan berhubung pelanggaran hak asasi manusia. – AFP