KINSHASA – Pada hari sama tragedi rempuhan di Korea Selatan meragut lebih 150 nyawa, satu insiden serupa berlaku di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut beberapa laporan, seramai 11 orang termasuk dua anggota polis terbunuh dalam kejadian rempuhan semasa konsert di sebuah stadium di ibu negara DRC, Kinshasa.
Menteri Dalam Negeri, Daniel Aselo Okito memberitahu bahawa Stadium Matyr yang berupaya memuatkan 80,000 orang menjadi arena untuk konsert bintang muzik Afrika, Fally Ipupa pada Sabtu lepas apabila kemalangan berlaku.
“Seramai 11 orang terbunuh termasuk dua anggota polis,” katanya kepada pemberita sambil menambah, penganjur membenarkan kehadiran melebihi kapasiti 100 peratus.
“Mereka (penganjur) mesti dihukum,” katanya.
Menurut media tempatan, stadium berkenaan penuh sesak melebihi kapasiti asalnya, manakala sebilangan penonton menceroboh masuk ke ruang tempat duduk VIP dan seksyen yang telah ditempah.
Beberapa saksi berkata, Ipupa yang lahir di Kinshasa, tiba di stadium berkenaan lewat beberapa jam. Sepanjang tempoh menunggu itu, bilangan penonton di dalam stadium terus bertambah dengan kakitangan keselamatan hilang kawalan.
Terdahulu, pasukan keselamatan membedil gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang merusuh di jalan-jalan di luar Stadium Matyr. Peminat penyanyi itu telah berkumpul lebih awal menjelang konsert tersebut.
Ipupa menikmati populariti di DRC, Eropah dan tempat-tempat lain di dunia. – Agensi