fbpx

UPSI tawar jaguh kanu lanjut pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. JAFFRY ZAKARIA (tengah) menyampaikan Surat Tawaran Pengajian kepada Shahida Asyiqin untuk melanjutkan pelajaran ke UPSI.

KUALA TERENGGANU – Atlet kanu berpotensi negara, Shahida Asyiqin Rusli, boleh menarik nafas lega apabila impiannya untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Sains Sukan menjadi realiti apabila ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Shahida Asyiqin yang tinggal di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, dikunjungi wakil UPSI semalam untuk menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian ke program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan (program Laluan Khas Atlet).

Surat berkenaan disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI, Dr. Jaffry Zakaria dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSK, Dr. Nur Haziyanti Mohamad Khalid, ibu Asyiqin serta jurulatih.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff merakamkan ucapan tahniah kepada Shahida Asyiqin dan berharap dia dapat memanfaatkan segala kemudahan dan peluang yang ada di universiti pendidikan tersohor itu.

“UPSI memiliki pensyarah kanu yang berpengalaman luas dan pernah mewakili negara dan Shahida Asyiqin membuat pilihan universiti yang selari dengan impiannya untuk mengembangkan potensi diri,” katanya.

Dr. Jaffry Zakaria yang juga bekas atlet kanu negara menyifatkan pemilihan Asyiqin untuk mengikuti pengajian di UPSI adalah pilihan yang tepat kerana UPSI memiliki aset dan prasarana lengkap dan terbaik buat sukan kanu.

“Asyiqin bukan sahaja mampu meneruskan pengajian akademik, malah boleh mengorak langkah ke peringkat penglibatan sukan kanu yang lebih tinggi jika belajar di UPSI,” jelasnya.

Menurutnya, program Laluan Khas Atlet di UPSI bukan sekadar untuk melahirkan atlet, malah menyediakan sistem sokongan yang menyeluruh kepada atlet agar mereka dapat menjalani proses bersukan dan belajar dengan baik.

Sementara itu , Dr. Nur Haziyanti berkata, FSSK memberi kemudahan untuk pelajar yang menjalani program Laluan Khas Atlet mengikuti jadual kuliah 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat bagi memberi peluang atlet menjalani latihan sukan secara berstuktur di luar waktu kuliah, manakala penyampaian kuliah pula menggunakan kaedah hybrid dan Pembelajaran Teradun Gantian.

Katanya, atlet yang perlu menjalani latihan atau yang terlibat dalam kejohanan sukan peringkat tinggi mempunyai waktu pembelajaran yang lebih fleksibel, manakala peluang untuk Graduate On Time (GOT) juga adalah tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI