SHAH ALAM – Langkah penyanyi Tom di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) terhenti apabila tersingkir pada minggu ketujuh malam tadi.
Meraih markah terendah iaitu 55.20 peratus (%), ketua juri, Datuk Ramli MS berkata, penyingkiran Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram disebabkan nyanyiannya yang di bawah aras ‘pitch’.
“Dia (Tom) menyanyi di bawah aras pitch, bukan sumbang tau. Kebiasaannya, 440 Kilohertz (kHz). Dia menyanyi (malam tadi), saya rasa bawah 430 atau 428 kHz.
“Sampai bahagian korus, dia punya nafas turun. Jadi, dia tak menyanyi dalam pitch yang sebetulnya. Waima sebelum seluar dia hampir tertanggal atas pentas, markah dia memang dah paling rendah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, Tom, 35, mengakui berasa sedih perjalanannya di GV9 akhirnya terhenti terutama pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-35.
“Saya sangat sedih. Sangat sedih sebab tak mampu nak lawan lagi.
“Sebenarnya, saya memang mengalah dah tapi saya cuba juga nak buat yang terbaik.
“Kalau ikutkan, saya nak nyanyi naik satu ‘key’, tapi Tok Ram suruh nyanyi key asal juga. Bukan sebab seluar tertanggal saya tersingkir.
“Saya percaya orang yang lebih arif. Jadi, saya akur dengan penyingkiran ini dan saya akui menyanyi (malam tadi) pun ‘goyang’ sebenarnya,” ujar Tom yang mendendangkan lagu Akhirnya Kini Pasti nyanyian asal Anita Sarawak.
Konsert malam tadi turut menyaksikan posisi nombor satu bertukar baton apabila Bob buat pertama kalinya meroket di pertama dengan markah 85.60 %.
Shila Amzah di tempat kedua dengan markah 84.10% sementelah Tomok juga cemerlang di kedudukan ketiga (81.50).
Konsert minggu kelapan bakal menyaksikan sembilan peserta yang tinggal bersaing membawakan lagu yang pernah mengungguli carta antaranya My Baby You (Bob Yusof), Coba (Shila Amzah), Mentera Semerah Padi (Tomok), Hijau (Dina Nadzir), Rozana (Kumpulan VE), Lelaki Ini (Jaclyn Victor), Widuri (Hazrul Nizam), Tiara (Asheed Def Gab C) dan Laila Namamu Teratas (Fuad Rahman). – KOSMO! ONLINE