PETALING JAYA – Ramai pasangan di luar sana masih tidak jelas mengenai isu penjagaan anak-anak selepas mereka bercerai sehingga ada golongan ibu yang terpaksa akur apabila si suami ingin mendapatkan hak penjagaan tersebut dengan alasan si isteri tiada pendapatan.
Peguam Syarie, Liyana Sihar berkata, seorang ibu yang tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah juga layak menjadi penjaga kepada anak-anak selepas berlaku perceraian.
“Ramai yang anggap ibu tidak bekerja tiada hak untuk penjagaan anak selepas bercerai kerana mereka tidak kerja, tidak ada pendapatan untuk jaga anak, itu sebenarnya adalah pendapat yang salah.
“Isu berkaitan dengan ibu tidak bekerja ini bukanlah menjadi satu syarat utama sama ada ibu itu layak untuk menjadi penjaga kepada anak atau tidak.
“Ini kerana, nafkah anak itu terletak ke atas tanggungjawab seorang ayah dan bukannya seorang ibu,” jelasnya menerusi perkongsian di TikTok baru-baru ini.
Menurut Liyana, sekiranya ibu itu tidak bekerja sekali pun, mahkamah tidak pernah menafikan hak mereka sebagai penjaga kepada anak-anak lebih-lebih lagi anak yang masih kecil.
“Jadi tidak ada isu untuk ibu yang tidak bekerja, ibu suri rumah, ibu tiada pendapat terhalang untuk menjadi penjaga anak-anak, jangan kita fikir, sekiranya tiada pekerjaan, kita tak boleh nak jaga anak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE