PETALING JAYA – “Segala risiko yang terjadi saya akan tanggung sebab saya sendiri yang mahu lakukan babak aksi.”
Demikian kata penyanyi dan juga pelakon Shiha Zikir sewaktu berkongsi keterujaannya apabila mahu melakukan sendiri adegan lasak termasuk aksi pertarungan dalam sebuah filem epik berjudul Legenda Kaling yang bakal dilakonkannya.
Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir berkata, dia sendiri meminta untuk melakukan aksi lasak walaupun mengetahui risiko kecederaan yang mungkin dialaminya nanti.
“Saya sendiri yang mahu melakukan babak aksi dalam filem Legenda Kaling. Dari segi persediaan, saya akan menjalani latihan terlebih dahulu nanti.
“Dalam filem tersebut, ada beberapa adegan lasak termasuk aksi tertarungan. Namun semuanya atas risiko dan tanggungjawab saya sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Meskipun pelakon lagak ngeri disediakan, Shiha bertegas mahu melakukan sendiri babak aksi kerana sukakan cabaran dan mahu menguji kemampuan.
Lebih membuatkan Shiha teruja apabila filem Legenda Kaling itu menjadi karya sulung yang diterbitkan syarikatnya, Shiha Zikir Empire Holdings Sdn. Bhd.
Bahkan penyanyi lagu Aewo itu sendiri bertindak sebagai Penerbit Eksekutif bagi filem tersebut.
“Selain berlakon, saya menjadi Penerbit Eksekutif bagi filem Legenda Kaling bawah syarikat sendiri, Shiha Zikir Empire.
“Filem ini bercerita tentang pahlawan di Sarawak. Biarpun berlatar belakang filem epik, tapi naskhah ini akan dihasilkan dalam bentuk fantasi dan banyak bermain kesan elemen kesan khas (CGI),” ujarnya.
Memulakan penggambaran pada 12 November ini, Legenda Kaling menampilkan lakonan Zahiril Adzim, Saiful Apek, Ebby Saiful dan seorang heroin baharu yang akan diperkenalkan nanti.
“Penggambaran akan dilakukan di dalam hutan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selama sebulan. Filem ini diarahkan oleh pengarah dan juga penulis skrip, Azril,” ujar Shiha.
Shiha yang ditemui selepas pementasan teater muzikal, Jula Juli Bintang Tujuh di Istana Budaya baru-baru ini turut berkongsi rasa gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar.
Dia juga bersyukur kerana teater pertama lakonannya itu diterima baik penonton meskipun mengalami sedikit masalah kesihatan.
“Dua hari sebelum pementasan, saya diserang sakit tekak dan selesema sehingga perlu bergantung dengan bantuan ubat-ubatan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan hidung saya berair. Terima kasih kepada penonton yang hadir menyaksikan Jula Juli Bintang tujuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE