PUTRAJAYA- Penyandang Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sedia menerima mana-mana kawasan yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata, kesemua keputusan berhubung calon [ada PRU15 akan diumumkan tidak lama lagi.
“Tidak tahu lah, saya rasa semua keputusan berkenaan calon pilihan raya akan diumumkan tidak lama lagi. Biarlah ia diumumkan pucuk pimpinan parti.
“Saya terima mana-mana kawasan yang diberikan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Khairy diminta mengulas mengenai namanya yang tidak berada di dalam senarai calon BN di Negeri Sembilan dan dijangka bakal dipertaruhkan di Parlimen Sungai Buloh.
Kelmarin, media melaporkan Menteri Kesihatan itu hampir pasti disahkan sebagai calon kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.
Sebelum ini Khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar syor-syor berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pada hari pengundian kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, SOP tersebut akan diumumkan oleh SPR. – KOSMO! ONLINE