IPOH – Para pengundi di Perak perlu mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta memastikan mereka memperoleh lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kerajaan negeri yang terbentuk kuat dan stabil.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengundi Cina dan India lebih-lebih lagi perlu memenangkan calon dari MCA dan MIC agar suara mereka dapat dibawa oleh parti-parti berkenaan di dalam kerajaan negeri.
“Barisan exco dalam kerajaan negeri ketika ini terdiri daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Pas (dua) dan tiga dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kita memerlukan wakil Cina dan India dalam exco kerajaan negeri. Tolong menangkan BN lebih daripada 30 kerusi,” katanya pada sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini semalam.
Beliau berkata, penubuhan sebuah kerajaan yang stabil membolehkan Menteri Besar dan kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aspek pembangunan terutamanya pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
“Pada ketika ini, saya dan kerajaan negeri sedang berkempen mempromosikan Perak Sejahtera 2030. Nak memajukan, melancarkan dan melaksanakan pelan pembangunan Perak Sejahtera itu, saya perlukan kerajaan yang kuat dan stabil.
“Kerajaan yang kuat dan stabil ini kerajaan satu parti tunggal atas nama Barisan Nasional (BN). Nak dapat kerusi lebih daripada 34, lagi lebih lagi baik,” katanya.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, sudah menjadi kelaziman bagi BN untuk mengumumkan calon pilihan rayanya tiga hari sebelum hari penamaan calon.
Beliau berkata, ia tiada kaitan dengan strategi namun sudah menjadi amalan parti tersebut untuk berbuat demikian.
“Saya mula jadi rakyat 1999, sebelum itu pun memang BN sentiasa mengeluarkan senarai tiga hari sebelum hari penamaan calon. Itu bukanlah strategi, kita biasa dengan cara begitu dan semua orang tahu,” katanya. – KOSMO! ONLINE