SEBERANG PERAI – Orang muda perlu meneliti aspek calon serta parti yang diwakilinya terlebih dahulu sebelum membuang undi.
Itu nasihat Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azmi Arifin kepada para pengundi khususnya generasi muda dan warga emas yang masih keliru untuk membuat pilihan sebelum keluar mengundi pada 19 November nanti.
Menurut beliau, calon yang berkaliber serta parti yang kukuh boleh memacu ke arah pembentukan kerajaan yang lebih stabil pada masa depan.
“Sudah tiba masanya kita sebagai pengundi untuk menilai kedua-dua aspek ini secara bersama. Pertama, pilih calon berdasarkan prestasi mereka. Lihat sama ada dia (calon) boleh penuhi agenda atau punya sifat kepimpinan.
“Dalam hal ini, saya fikir, pemimpin-pemimpin lama yang ada masalah, ada isu dan sebagainya tidak wajar diangkat semula (sebagai calon),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, selain calon yang berwibawa dan sentiasa ada ketika rakyat memerlukan khidmatnya, parti yang kuat dan kukuh juga penting untuk melaksanakan agenda negara termasuk memulihkan ekonomi serta menangani isu pengangguran dan lain-lain.
Katanya, kerajaan pasca Covid-19 iaitu sebelum pembubaran Parlimen adalah tidak stabil hingga menyukarkan sebarang dasar dibentuk dan ini memerlukan kerajaan baharu yang menerima mandat sepenuhnya daripada rakyat.
“Sekarang bergantung kepada kebijaksanaan pengundi itu sendiri untuk memilih. Walaupun kena undi parti yang kuat, tapi kalau calonnya bermasalah tak boleh juga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Azmi berkata, kemunculan beberapa parti baharu pada PRU15 ini sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada para pengundi kali ini secara umumnya.
Jelasnya, walaupun parti-parti itu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan beberapa parti lain dianggap baharu, hakikatnya, hampir kesemua parti berkenaan didokong dan diterajui oleh orang lama.
“Secara umumnya, tidak ada apa-apa keistimewaan pada parti-parti baharu ini dan saya juga melihat perjuangan mereka ketika ini masih ‘samar’,” katanya yang percaya rata-rata generasi muda ‘condong’ memilih parti yang telah lama bertapak berbanding parti baharu yang ‘tumbuh bagai cendawan’ ketika ini.
Sehubungan itu, Azmi turut menjangkakan bahawa PRU15 ini lebih kepada ‘pertarungan’ antara dua blok parti yang dominan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), manakala dua lagi parti gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dilihat sebagai alternatif kepada pengundi sahaja. -KOSMO! ONLINE