KOTA BHARU – Polis mengingatkan rakyat Malaysia yang menetap di negara jiran supaya tidak menggunakan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand negeri ini untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mahu warga tempatan itu memasuki negara ini menggunakan pintu masuk yang sah iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Bunga di Jeli,Pengkalan Kubor, Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas
Menurutnya, sehubungan itu, polis akan memperketatkan tugasan di sempadan negara sehingga menjelang PRU15 bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik.
“Setakat ini, kita mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebarang perubahan atau pindaan hanya akan dilakukan jika menerima arahan daripada SPR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, anggota yang terlibat dengan operasi sempadan akan dikecualikan daripada penugasan semasa PRU15. – KOSMO! ONLINE