fbpx

PRU15: BN Kelantan hantar nama Annuar Musa kekal bertanding di Ketereh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jazlan (tengah) memegang panji-panji BN pada Majlis Pelancaran Jentera BN Kelantan di Labok, Machang hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

MACHANG – Barisan Nasional (BN) Kelantan sudah meletakkan nama Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa untuk kekal sebagai calon parti itu di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pencalonan itu selari dengan status Annuar selaku penyandang kerusi Parlimen berkenaan sebelum ini.

Menurutnya, selain Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li turut dicalonkan pada PRU15.

“Selain kedua-dua individu itu, BN Kelantan turut menamakan saya sebagai penyandang dan memenangi kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tugas saya di peringkat negeri sudah selesai dengan mengemukakan semua senarai calon untuk mewakili BN pada PRU15,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Kelantan di Labok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, senarai calon BN Kelantan telah diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beliau akan membuat keputusan akhir nanti.

Katanya, setakat ini, tiada individu boleh mengaku sebagai calon BN terutamanya di Kelantan meskipun namanya disebut-sebut untuk bertanding selagi borang pencalonan belum diserahkan kepada Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi, Semua yang tersebar berkait dengan calon itu hanya khabar angin,” ujarnya.

Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan nama Annuar Musa tidak tersenarai sebagai calon pada PRU15.

Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh yang menjadi kubu kuat BN dengan meraih majoriti sebanyak 4,626 undi dengan menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh yang merupakan calon Pas dan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin daripada Pakatan Harapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI