fbpx

Program Tenaga Hijau Korporat tawar kuota 600MV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin Hassan bercakap kepada pemberita selepas sidang akhbar pengumuman pelaksanaan Program Tenaga Hijau Korporat di Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya di sini, hari ini. -Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) khusus buat syarikat korporat yang beroperasi di Malaysia bagi mencapai komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tabdir Urus (ESG).

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, CGPP mengguna pakai mekanisme Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA) dengan jumlah kuota disediakan sebanyak 600 megawat (MW).

Beliau berkata, di bawah program itu, syarikat korporat yang layak boleh memeterai Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (PTHK) dengan penjana tenaga solar bagi penjualan dan pembelian Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara maya dengan terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Menerusi VPPA ini, bekalan elektrik masih disalurkan seperti biasa oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui sistem dan infrastruktur pembekalan elektrik sedia ada.

“Langkah strategik ini juga berupaya mengekalkan syarikat-syarikat sedia ada serta menarik syarikat-syarikat antarabangsa lain untuk melabur di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, permohonan penyertaan program CGPP akan dibuka pada 7 November ini hingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota disediakan selesai diagihkan, yang mana terdahulu.

Takiyuddin berkata, satu Jawatankuasa Penilaian Khas akan diwujudkan bagi memastikan proses penilaian permohonan dilakukan secara telus dan teratur.

Menurutnya, kesemua penjana tenaga solar yang diluluskan pelaksanaan di bawah program ini hendaklah disiapkan dan mula beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2025.

“Suruhanjaya Tenaga (ST) selaku agensi kawal selia CGPP telah menyediakan ‘Panduan Maklumat untuk Program Tenaga Hijau Korporat’ dan dokumen ini boleh dimuat turun dari laman sesawang www.st.gov.mybmulai 7 November ini.

“Pengenalan CGPP akan memastikan hasrat kerajaan meningkatkan campuran kapasiti TBB kepada 31 peratus menjelang tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035,” katanya.

Katanya, pelaksanaan projek ini berupaya menjana nilai pelaburan yang dianggarkan melebihi RM2 bilion dan kira-kira 7,200 peluang pekerjaan baharu dalam industri tenaga lestari negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI