TEHRAN – Keganasan terbaharu tercetus antara pasukan keselamatan dan pelajar di beberapa kampus universiti seluruh Iran semalam, demikian menurut aktivis dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.
Menurut stesen penyiaran CNN, kumpulan pelajar berterusan melakukan protes di beberapa universiti meskipun amaran dikeluarkan oleh Ketua Komander Pengawal Revolusi, Hossein Salami bahawa Sabtu lepas merupakan hari terakhir untuk melakukan protes.
Berdasarkan rakaman video yang diedarkan laman web proaktivis, Iran Wire, dua pegawai beruniform dilihat cuba menahan peserta tunjuk perasaan. Video itu dikatakan dirakam di Kolej Teknikal Sanandaj, barat laut Iran.
Di pusat bandar Teheran, kumpulan-kumpulan aktivis mendakwa pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan, anggota militia Basij dan anggota polis yang memakai pakaian biasa di Universiti Azad.
CNN bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada anggota yang terlibat itu merupakan pasukan keselamatan.
Selain itu, sebuah video dikongsikan kumpulan aktivis 1,500 Tasvir pula menunjukkan orang ramai dengan ada antara mereka memegang kayu, manakala gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka. Namun, tidak dapat disahkan pihak yang melepaskan gas tersebut.
Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Norway, Iran Human Right (IHRNGO) menyelar pencerobohan kampus universiti oleh anggota pasukan keselamatan berpakaian awam dan tindakan keras terhadap protes pelajar yang berlangsung secara aman.
“Ketika protes berlarutan di seluruh negara, anggota pasukan keselamatan berpakaian awam a telah memasuki kampus universiti dan menahan pelajar dengan menggunakan kekerasan,” kata IHRNGO.
Protes di Iran berterusan selama berminggu-minggu selepas kematian gadis berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral pada 16 September lalu.
Dia ditahan kerana tidak memakai tudung dengan sempurna. – Agensi