SAUDARA PENGARANG,
MEMANDANGKAN hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jatuh pada 19 November ini, kami anak perantau dalam dilema sama ada mahu pulang ke kampung atau tidak.
Ini kerana pada tarikh tersebut, gaji belum masuk sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan. Kebiasaannya gaji diperoleh pada 25 hari bulan setiap bulan.
Walaupun tanggungjawab mengundi adalah penting bagi kami sebagai rakyat Malaysia, namun apabila memikirkan kos untuk pulang ke kampung membuatkan saya terutamanya terpaksa berfikir dua kali.
Sebagai ketua keluarga yang mempunyai anak ramai, kami bukan sahaja terpaksa mengisi petrol, tol dan makan minum, tetapi perlu memikirkan kos-kos lain seperti sewa homestay memandang rumah peninggalan orang tua sudah dirobohkan sebelum ini.
Bagi penjawat awam seperti saya, tempoh untuk menunggu gaji seterusnya terlalu lama kerana bulan Oktober gaji diawalkan iaitu pada 18 hari bulan.
Banyak duit gaji tersebut telah digunakan untuk keperluan harian dan menyelesaikan hutang-hutang semasa. Ada baki pun untuk meneruskan kelangsungan hidup sebelum gaji akan datang.
Bukan niat kami untuk mengelak membuang undi, tetapi memikirkan gaji yang lambat lagi dengan kos sara hidup semasa, kami dilema untuk pulang mengundi di kampung atau tidak.
Alangkah seronoknya jika kerajaan dan majikan bagi pekerja swasta dapat memberi kelonggaran pada bulan depan untuk mempercepatkan hari gaji, baharulah lega kami untuk pulang ke kampung memilih wakil rakyat. Saya yakin ramai sedang menghadapi dilema ini.
Bapa Dilema
Putrajaya