fbpx

Korban rempuhan malam Halloween di Itaewon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota perkhidmatan kecemasan memeriksa keadaan lorong selepas berlakunya rempuhan di Itaewon, semalam. – AFP

SEOUL – Orang ramai yang memakai kostum bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam keadaan panik, dengan ratusan mayat bergelimpangan di kaki lima kedai-kedai di daerah Itaewon, Seoul, dalam satu sambutan festival Halloween yang bertukar menjadi tragedi, malam kelmarin.

Lebih 151 mangsa dengan kebanyakannya terdiri daripada remaja berusia 20-an terbunuh dalam rempuhan di daerah popular dalam ibu kota Korea Selatan tersebut, dengan punca kejadian masih tidak dapat dipastikan.

Berpuluh-puluh ribu peserta dengan kebanyakannya memakai kostum Halloween berkumpul di Itaewon malam kelmarin, sambutan pertama festival itu yang diadakan sejak Korea Selatan melonggarkan kebanyakan sekatan Covid-19.

“Seorang rakan memberitahu bahawa sesuatu yang buruk berlaku di luar ketika saya sedang minum di dalam bar.

“Saya kemudian meninjau keadaan di luar dan melihat ramai orang sedang memberikan bantuan pernafasan di tepi jalan,” kata seorang saksi, Jeon Ga-eul.

Daerah tersebut yang menjadi semakin popular selepas tayangan drama Korea terbitan tahun 2020, Itaewon Class, mempunyai keadaan lorong-lorong yang curam dan laluan berliku di kedua-dua belah jalan utama.

Insiden rempuhan itu berlaku di sebuah lorong sempit dan curam berhampiran dengan Hotel Hamilton.

Jabatan bomba berkata, mangsa yang mati termasuk 97 wanita dan 54 lelaki, selain seorang saksi memberitahu agensi berita Yonhap bahawa individu yang berbadan kecil adalah yang paling bergelut menyelamatkan diri dalam keadaan orang ramai yang bersesak.

“Orang yang rendah seperti saya sukar untuk bernafas,” kata seorang mangsa sambil menambah, dia terselamat kerana berada di bahagian tepi lorong dengan mereka yang berada di bahagian tengah lebih menghadapi kesukaran.

Seorang saksi lain yang menceritakan mengenai kejadian itu di laman Twitter berkata, keadaan panik tercetus apabila orang ramai saling menolak ke arah lorong yang sempit.

“Ia menyebabkan orang ramai menjerit dan mula jatuh seperti domino. 

“Saya sangkakan saya akan mati ketika orang ramai berterusan menolak tanpa menyedari mereka telah pun jatuh ketika rempuhan bermula,” kata saksi tersebut.

Disebabkan bilangan mangsa terlalu ramai, petugas kecemasan yang tiba awal di lokasi kejadian meminta orang ramai yang berada kawasan tersebut melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa-mangsa di jalan.

Mayat mangsa yang mati dihempap atau dipijak disusun dalam barisan serta ditutup dengan selimut.

Awal pagi semalam, penyiasat polis menutup kawasan terlibat serta memeriksa lorong-lorong yang berselerak dengan serpihan kostum Halloween.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, semalam turut mengisytiharkan hari berkabung seluruh negara menerusi ucapannya yang disiarkan di kaca televisyen serta melawat lokasi kejadian.

“Di ibu kota Seoul, tragedi dan malapetaka seperti ini tidak seharusnya berlaku,” kata Suk-yeol sambil berikrar akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu bagi memastikan ia tidak berlaku lagi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba Korea Selatan menerusi satu kenyataan semalam berkata, 19 warganegara asing adalah antara mangsa yang terbunuh dalam insiden tersebut.

“Angka kematian turut meningkat kepada 151 orang termasuk 19 warganegara asing yang terkorban dalam rempuhan yang berlaku kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan), Sabtu,” kata kenyataan berkenaan.

Yonhap melaporkan bahawa warganegara asing yang maut adalah termasuk dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI