PETALING JAYA – Penyanyi bersuara lantang, Khai Bahar berkongsi rasa teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai warga Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara 19 November nanti.
Khai ketika ditemui Kosmo! Online baru-baru ini berkata, PRU15 kali ini dia akan mengundi di Selangor selepas mengemaskini alamatnya di sini.
“Saya pernah mengundi sebelum ini di Perlis. Tapi untuk PRU15 nanti saya akan mengundi di sini (Selangor) sebab sudah kemas kini alamat. Jadi tak perlu lagi balik ke kampung (Perlis) untuk mengundi.
“Saya teruja untuk turun mengundi pada PRU15 nanti memandangkan perkara itu hanya berlaku setiap lima tahun sekali,” katanya.
Ketika disoal tentang harapannya terhadap keputusan PRU15 nanti, pelantun lagu Luluh itu berharap agar Malaysia akan dipimpin oleh mereka yang boleh membawa negara lebih maju.
“Harapan terhadap keputusan PRU15 nanti, saya harap Malaysia akan terus dipimpin oleh mereka yang layak dan dapat membawa negara berkembang maju serta memimpin rakyat hidup lebih makmur,” katanya.
Bercakap tentang pendapatnya berhubung pembabitan selebriti yang akan bertanding sebagai calon pilihan raya, Khai ketika ditemui pada majlis minum petang bersama artis Rusa Music berkata, perkara itu terpulang pada hak individu tersebut.
Ujar penyanyi berusia 28 tahun itu lagi, jika seseorang calon dalam kalangan selebriti mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk menjadi pemimpin, perkara tersebut tidak menjadi halangan mereka turun bertanding.
“Saya berfikiran positif. Kalau mereka yakin dan ada pengikut untuk mengundi, apa salahnya. Itu adalah hak masing-masing.
“Negara jiran sendiri, Indonesia, ramai juga selebriti terkenal di sana yang menceburi politik dan mempunyai pengikut masing-masing. Jadi bagi saya perkara itu adalah bersifat terbuka,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa nama selebriti tanah air bergiat akif dalam politik antaranya Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Datuk Hans Isaac, Shahrol Shiro, Zed Zaidi dan Afdlin Shauki. – KOSMO! ONLINE