fbpx

Kes jenayah komersial di Kelantan meningkat 23 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. -Foto oleh ROHANA MOHD.NAWI

KOTA BHARU – Kes jenayah komersial di Kelantan mencatatkan sebanyak 771 kes bermula Januari hingga September lalu iaitu peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 144 kes berbanding keseluruhan kes yang dilaporkan pada tahun lalu iaitu 627 kes.

Menurutnya, 771 kes yang dilaporkan itu membabitkan kerugian melebihi RM21 juta manakala RM11.8 juta pada tahun lalu.

“Kes yang paling tinggi dicatatkan adalah melibatkan penipuan Macau Scam iaitu 150 kes dengan kerugian RM5.1 juta. Penipuan e-dagang pula membabitkan sebanyak 141 kes dengan jumlah kerugian RM1 juta.

“Sehubungan itu, orang ramai diharap sentiasa berwaspada terhadap kes-kes yang melibatkan penipuan termasuk menggunakan institusi agama bagi tujuan mengutip sumbangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, meskipun banyak hebahan mengenai penipuan dijalankan ketika ini, masih ramai yang menjadi mangsa.

“Ada kes penipuan yang dilaporkan melibatkan sumbangan ikhlas daripada mangsa sehingga lebih 10 kali.

“Sekiranya ada unsur-unsur penipuan seperti yang dilaporkan mangsa, kita akan terus menjalankan siasatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada individu sama atau orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI