LUMUT – Tindakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun bermain dengan memasukkan kepala di celah hiasan batu balkoni rumahnya di Taman Samudera dekat sini mengundang padah apabila kepalanya tersepit di hiasan tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.33 pagi tadi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung yang tiba di tempat kejadian mendapati kepala seorang kanak-kanak lelaki tersepit di balkoni atas rumah teres dua tingkat di taman perumahan tersebut.
“Tindakan anggota kemudian mengeluarkan kepala kanak-kanak yang tersepit itu tanpa menggunakan sebarang peralatan khas sehingga berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Yusop Daud itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.52 pagi. – KOSMO! ONLINE