PETALING JAYA – Permintaan pelakon senior, Kazar agar aktres Puteri Sarah Liyana berdamai dengan anak perempuannya, Ira Kazar mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Perkara tersebut hangat menjadi bahan debat dalam kalangan netizen apabila Puteri Sarah, 36, menerusi satu hantaran Instagram meminta orang ramai membincangkan kenyataan dikeluarkan aktor itu.
“Bukan masalah besar sangat meruntuhkan rumah tangga orang. Bincangkan,” tulis pelakon drama Suri Hati itu ringkas.
Menerusi entri sama, dia turut memuat naik tangkap layar memaparkan laporan sebuah portal hiburan mengenai kenyataan Kazar bertajuk ‘kalau boleh berdamailah, buan masalah besar sangat’.
Perkara tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada pengikut Instagramnya dan rata-rata menyelar kenyataan Kazar yang dianggap tidak berasas.
Malah, ada juga yang mengakui hilang rasa hormat dan minat terhadap aktor yang terkenal dengan watak dukun Degawan itu.
“Terus hilang respek terhadap dia. Mengapa sokong perkara yang secara terang-terang salah?” komen seorang netizen.
“Bukan masalah besar pada kau, orang lain perlu tanggung selama-lamanya. Ajar anak, suruh dia cari yang bujang, bukannya suami orang,” selar seorang lagi netizen.
Pada Sabtu lalu, Kazar yang ditemui media pada Anugerah Seri Angkasa 2022 berharap Puteri Sarah berdamai dengan anak perempuannya kerana menganggap isu antara mereka sebagai masalah kecil.
“Harapan saya, kalau boleh berdamailah. Bukan masalah besar sangat. Damai sahajalah.
“Saya nasihat pada netizen jangan terlalu kasar sangat. Komen yang baik-baik, ini semua kerja Tuhan. Kami satu keluarga menyokong Ira dan sentiasa berada di sisinya,” ulasnya.
Pada 30 Jun lalu, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira yang didakwa mengganggu rumah tangganya sejak empat tahun lepas.
Malah, pelakon itu juga mendapatkan perintah interim injuksi kepada pihak defendan agar berhenti meluah atau menyebarkan sebarang gangguan dalam media sosial.
Pada akhir Julai, Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail mengesahkan Ira hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga membabitkan Sarah dan Syamsul.
Ira disiasat berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga antara Puteri Sarah dengan Syamsul berlarutan sejak empat tahun lalu selain dia mengesahkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung gara-gara gangguan orang ketiga. – KOSMO! ONLINE