fbpx

Dua rakan ditangkap edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri (dua dari kiri) menunjukkan 4.6 kilogram dadah methamphetamine dan heroin yang dirampas bernilai RM161,542.50 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di IPK Perak, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTAPHA

IPOH – Polis menahan dua lelaki dan merampas 4.6 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan heroin bernilai RM161,542.50 dalam dua tangkapan berasingan di Bidor dan Teluk Intan kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek pertama berusia 22 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan Bidor pada pukul 9.15 malam.

Katanya, pemeriksaan ke atas lelaki yang juga penganggur itu menemukan 17 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 14.0 gram dan 10 bungkus plastik bahan disyaki heroin seberat 4,575.50 gram.

“Susulan tangkapan ke atas suspek terbabit, pihak polis berjaya memberkas rakannya berusia 37 tahun di Changkat Jong, Teluk Intan sejam kemudian.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas dua-dua suspek mendapati positif methamphetamine dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek disyaki terlibat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan dadah tersebut diedarkan di kawasan Tapah, Bidor dan Teluk Intan.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan untuk 15,000 orang penagih.

“Dalam serbuan itu kita turut menyita sebuah kereta bernilai RM15,000. Anggaran nilai keseluruhan rampasan yang disiasat di bawah Akta Pelucutan Harta 1988 berjumlah RM176,542.50.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari sejak semalam hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI