fbpx

Astana Mini Series bicara tentang dunia pergigian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUQMAN HAFIDZ (dua dari kiri) dan penerbit , Dr. Tengku Afiq Bukhari bersama barisan pelakon utama drama pendek Astana Mini Series.

BERMULA dengan minat yang tinggi dalam bidang pengarahan dan selok-belok belakang tabir, pelakon Luqman Hafidz mengorak langkah berani berjinak-jinak di kerusi pengarah.

Luqman memulakan kariernya sebagai pengarah menerusi sebuah drama bersiri pendek enam episod, Astana Mini Series.

Drama bersiri terbitan Astana Motion Studio Sdn. Bhd. itu ibarat membuka langkah baharu buat Luqman selepas mencipta nama sebagai pelakon menerusi filem Ola Bola.

Sejak karier seninya bermula pada 2017, dia berasa bertuah kerana sering menerima peluang baharu dalam pelbagai cabang seni kreatif seperti teater, penulisan skrip, pengacaraan dan terbaharu, pengarahan.

“Saya jadikan peluang duduk di kerusi pengarah sebagai tiket untuk masa depan. Kebetulan pula saya memang minat dengan penulisan cerita dan skrip, lakon layar serta sinematografi,” katanya.

Cerita Luqman, peluang tersebut bermula dengan perkenalannya bersama penerbit yang juga doktor gigi, Dr. Tengku Afiq Bukhari di sebuah klinik gigi.

“Hubungan kami bermula sebagai doktor dan pesakit sebenarnya. Kebetulan, ketika mendapatkan rawatan, saya baru selesai buat satu filem pendek. Selepas berbual, saya tunjukkan kepada Afiq filem pendek itu.

“Rupa-rupanya dia berminat (karya seni) dan bertanya jika saya boleh mengarahkan siri mini untuk klinik giginya bagi mendidik masyarakat tentang dunia pergigian.

“Tetapi dia mahu siri mini itu dihasilkan dalam bentuk hiburan dan santai, bukannya format dokumentari atau iklan,” jelasnya.

Sementara itu menurut penerbitnya, Tengku Afiq Bukhari, dia sudah lama mencari peluang untuk menghasilkan dokumentasi pergigian yang berbentuk filem pendek atau siri.

LUQMAN HAFIDZ teruja dan gembira apabila diberi peluang untuk mengarah Astana Mini Series.

Misinya demi menyuntik kesedaran umum tentang kepentingan penjagaan gigi yang betul dalam kalangan masyarakat.

“Apabila saya berkenalan dengan Luqman untuk rawatan giginya, saya tertarik untuk bekerjasama dengan dia bagi merealisasikan hasrat ini.

“Alhamdulillah kami ada keserasian walaupun baru kenal dan berkawan. Malah, kreativiti dan pemikiran Luqman terhadap karya seni selari dengan cara saya,” katanya.

Siri mini tersebut dibintangi oleh Luqman, Nas-T, Cik Manggis, Dr. Syed Ridzwan, Naqiu, Sara Ali, Beto Kusyairy, Mustapha Kamal, Pablo Amirul dan Ezzaty Abdullah.

Penggambaran Astana Mini Series mengambil masa selama enam hari di Bukit Jelutong, Shah Alam dengan kos produksi sebanyak RM70,000.

Naskhah tersebut akan ditayangkan menerusi saluran YouTube, Astana Motion Studio bermula esok, 1 November. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI