ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dekat sini akan meraikan seramai 6,611 graduan pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-34 yang berlangsung selama lima hari bermula 6 November ini.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, konvokesyen itu melibatkan seramai 5,537 graduan sarjana muda dan 1,074 graduan pasca siswazah.
Katanya, seramai tujuh pengamal media menjadi antara graduan yang menerima ijazah disampaikan Raja Muda Kedah pada 7 November ini.
“Daripada jumlah graduan pasca siswazah, seramai 227 merupakan graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan diploma pasca siswazah (124).
“Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara dengan Indonesia mencatatkan jumlah teramai iaitu 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, majlis Konvokesyen itu turut menyaksikan seramai 868 graduan atau 13.12 peratus dari ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.
“Pencapaian kebolehpasaran graduan UUM telah mencapai 84 peratus, sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada majikan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, pada konvokesyen itu, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi) kepada Datuk Che Azmi Murad.
“Sultan Kedah yang juga Canselor UUM, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada dua tokoh tersebut pada sesi pertama 6 November ini,” katanya.
Selain itu, tambahnya, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama universiti termasuk anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Sempena majlis ini juga berlangsung Pesta Konvokesyen dengan tema #INIUUMKITA: Kenangan Tercipta yang berlangsung dari 3 hingga 11 November ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE