TAIPEI – Sekumpulan saintis mendakwa bahawa gejala kemurungan menjelang tarikh hari lahir atau ‘birthday blues’ adalah satu simptom yang benar-benar wujud, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pakar psikiatri dari Taiwan, Dr. Chih Yu-chang berkata, fenomena itu bukan sekadar cerita dongeng malah satu masalah serius yang mendorong pesakit untuk cuba membunuh diri.
Salah seorang pesakit Yu-chang dijadikan bahan kajian paling berkesan untuk membuktikan teori mengenai ‘birthday blues’.
Pesakit lelaki berusia 60 tahun itu sudah beberapa kali cuba membunuh diri setiap kali tarikh lahir tiba selepas dia meletak jawatan sebagai jurutera kereta disebabkan masalah kesihatan semasa di awal usia 50-an.
Pesakit yang disifatkan sebagai introvert dan dianggap sebagai autistik itu kehilangan satu pekerjaan yang sangat diminatinya dan mula mengalami kemurungan.
Dia hanya didiagnosis dengan sindrom ‘birthday blues’ selepas percubaan membunuh diri pertamanya yang berlaku pada hari lahir yang ke-52.
Yu-chang mendedahkan bahawa pesakit berkenaan mencuba lagi pada hari lahirnya yang ke-58.
Tidak cukup dengan itu, pesakit berkenaan membuat rancangan untuk kematiannya sendiri menjelang hari lahirnya yang ke-60 dengan menulis nota yang ditemui oleh anaknya.
Lelaki itu yang sedang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Cheng Kung, memberitahu doktor bahawa tarikh lahir membuatkan dia berasa mahu mati.
“Saya mahu mati pada hari lahir saya tidak kira apa pun yang berlaku,” kata pesakit itu.
Lelaki itu kemudiannya diberi rawatan psikologi, diberi terapi tingkah laku kognitif, ubat penenang, mengambil bahagian dalam muzik bagi mengisi aktiviti harian dan menyertai sesi apresiasi.
“Apabila hari lahirnya tiba, pesakit itu akan berubah sikap dengan mendadak. Dia akan terbaring dan meringkuk di atas katil sepanjang hari, menggigil dan enggan bertemu atau bercakap dengan sesiapa.
“Namun dia akan menjadi normal pada keesokan harinya, selepas hari lahirnya tamat,” kata Yu-chang.
Pesakit tersebut kini sudah bertambah baik sejak menerima rawatan dan berterima kasih kepada kakitangan hospital kerana ‘mengembalikannya dari pintu kematian’. – Agensi