fbpx

‘Saya masih mahu bertugas sebagai pendidik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shoibih Ransab (dua kanan) menerima sumbangan khas 'Ziarah Kasih 2022’ yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat (kanan) di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU –  “Jauh di sudut hati, saya masih mahu berbakti, tetapi diduga dengan masalah kesihatan.”

Demikian luah Shoibih Ransab, 56, yang berkhidmat sebagai guru selama lebih 20 tahun sebelum diserang penyakit angin ahmar pada penghujung tahun lalu sekali gus mengubah kehidupan hariannya.

Guru subjek Sains, Sejarah dan Matematik di Sekolah Kebaangsaan Taburan, Kota Belud itu kini berehat di rumah dan terpaksa menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

Anak keempatnya, Angyline Evaglorya Shoibih, 23, berkata, bapanya tidak mempunyai masalah pertuturan seperti pesakit angin ahmar lain, namun pergerakan sehariannya agak terbatas.

“Adakalanya dia (bapa) kerap lupa dengan perkara yang dilakukan. Dia juga lambat memberi respons jika ditanyakan soalan.

“Walaupun boleh berjalan perlahan, dia tidak mampu berdiri atau berjalan terlalu lama. Kini dia banyak menghabiskan masa berehat di rumah dan berjumpa doktor sebulan sekali untuk rawatan susulan,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya terus komited menyalurkan bantuan secara ‘one off’ kepada guru yang memerlukan menerusi program Ziarah Kasih.

“Kita berharap dapat bantu guru yang mempunyai masalah kesihatan agar mereka mendapat manfaat daripada YGMB,” katanya.

Wan Munadi menggesa lebih ramai guru mendaftar supaya mereka turut memperoleh manfaat yang sama dengan Shoibih. YGMB kini mempunyai kira-kira 130,000 ahli dengan 10,000 keahlian dari Sabah.

“Jumlah ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan angka keseluruhan ahli berikutan masih banyak tempat di negeri ini yang belum dijelajah. Antara manfaatnya, guru-guru boleh menerima sehingga RM50,000 apabila menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kronik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI