fbpx

Rempuhan Itaewon: 355 laporan orang hilang diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menyiasat lokasi insiden rempuhan di Itaewon, kelmarin. - AFP

SEOUL – Pihak berkuasa metropolitan Seoul hari ini menyatakan bahawa ia telah menerima 355 laporan orang hilang yang dipercayai berkaitan dengan tragedi rempuhan ketika festival Halloween di daerah Itaewon, malam semalam.

Menurut agensi berita Yonhap, sekurang-kurangnya 151 orang meninggal dunia dan 82 lagi cedera dalam insiden di daerah hiburan itu ketika orang ramai berkumpul di lorong sempit dan curam bagi menyambut Halloween.

Pihak berkuasa kota raya Seoul berkata, ia menerima beratus-ratus laporan orang hilang berkaitan insiden tersebut dan telah menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kira-kira 60 kakitangan kami telah dikerahkan ke sekitar 50 hospital bagi memberi sokongan kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban, dengan kebanyakannya berusia lingkungan 20-an,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan bahawa persoalan kini muncul mengenai kelemahan sistem keselamatan pada acara tersebut, kata Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min dalam satu taklimat akhbar hari ini sambil menambah, anggota polis dikerahkan ke lokasi lain di daerah itu.

“Saya tidak pasti mengenai jumlah sebenar anggota polis yang berada di Itaewon namun, satu jumlah yang munasabah telah dikerahkan ke Gwanghwamun, di mana orang ramai dijangka memenuhi kawasan itu untuk melakukan protes,” katanya.

Tambahnya, polis juga tidak menjangka bilangan pengunjung akan menjadi seramai itu untuk acara sambutan Halloween.

“Jangkaan bilangan pengunjung di Itaewon tidak banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, justeru, saya difahamkan bahawa anggota polis yang dikerahkan untuk berkawal adalah hampir sama dengan skala penganjuran sebelumnya,” jelas Sang-min.

Dalam pada itu, seorang doktor yang berada di lokasi kejadian memberitahu bahawa bilangan mangsa yang terlalu ramai menyebabkan petugas kesihatan terpaksa meminta bantuan orang ramai untuk memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa.

“Saya tidak dapat merasai denyut nadi atau pernafasan mangsa dan kebanyakannya mengalami hidung berdarah. Apabila saya melakukan bantuan pernafasan, saya turut mengepam darah dari mulut mereka,” kata Dr. Lee Beom-suk kepada stesen penyiaran YTN. – AFP/Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI