fbpx

PRU15: Naib Presiden Bersatu umum keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rafiq mengumumkan keluar parti Bersatu dalam satu sidang akhbar yang sedang berlangsung di sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka.

MELAKA – Mengakui kecewa seolah-olah jawatannya selaku Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dihormati, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan keluar daripada parti dan melepaskan semua jawatan disandangnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, keputusan itu dibuat selepas kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi yang tidak mencalonkannya di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seperti dijanjikan.

Jelasnya, sebaliknya beliau ditawarkan bertanding di kerusi lain termasuk di Parlimen Bagan Datuk yang ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dihubungi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beberapa hari lepas memaklumkan nama saya tidak dicalonkan bertanding di Tangga Batu.

“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Tangga Batu selama lebih enam tahun tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

“Yang jelas struktur parti dalam Bersatu tidak lagi dihormati, sepatutnya pemegang jawatan dalam parti seperti Naib Presiden dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.

“Saya juga mengumumkan pemberhentian saya sebagai ahli Bersatu seumur hidup juga berkuatkuasa serta-merta,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di sebuah hotel di Pantai Puteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, keputusan itu juga dibuat dengan pertimbangan mendalam dan selepas berbincang dengan ahli-ahli parti di bahagian berkenaan.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu Cawangan Cheng telah dihantar kepada Muhyiddin beberapa hari lalu.

Ujarnya lagi, dia juga tidak lagi berminat untuk bertanding di atas tiket mana-mana parti walaupun sebagai calon parti bebas.

“Saya tidak berminat untuk memikirkan soal politik buat masa ini, biarlah saya berehat sebentar bersama keluarga saya.

“Namun saya dah berbincang dengan rakan-rakan lain untuk terus berkhidmat bagi masyarakat Parlimen Tangga Batu walaupun tanpa platform politik, kita akan bergerak melalui NGO (pertubuhan badan bukan kerajaan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI