KUALA NERANG – Tindakan DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya untuk dijadikan sebagai boneka bagi menampakkan kononnya parti itu sebuah parti majmuk.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah sedemikian adalah sebahagian daripada taktik DAP dalam cubaan untuk meraih undi.
“Saya fikir tindakan itu adalah sebahagian daripada taktik untuk menunjukkan DAP parti berbilang kaum sedangkan kita semua tahu bahawa keputusan dalam parti tersebut dibuat oleh sekumpulan individu tertentu saja.
“Kemudian mereka jadikan calon-calon Melayu sebagai boneka untuk menampakkan bahawa DAP merupakan sebuah parti majmuk,” katanya pada sidang akhbar selepas Merasmikan Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Padang Terap serta Ketua Pembantu Tadbir peringkat negeri Kedah di sini hari ini.
Pada PRU kali ini, DAP dilihat menampilkan lebih ramai calon Melayu antaranya Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Lipis, Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam serta Young Syefura Othman di Bentong.
Terbaharu, parti tersebut turut mengumumkan calon Melayu di Jerai iaitu Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff dengan tindakan tersebut dikatakan turut tidak disenangi rakan sekutu mereka dari Parti Amanah Negara (Amanah) negeri.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, DAP pada hakikatnya tahu ada antara calon tersebut yang tidak mempunyai potensi untuk mencapai kemenangan.
“Kita tahu mereka ini tak iboleh menang pun tetapi DAP letak saja sebagai calon kerana apabila ada yang bercakap mengenai calon Melayu, mereka boleh tunjukkan bahawa mereka letakkan peratusan calon Melayu lebih tinggi kali ini.
“Maka mereka bolehlah katakan kepada umum bahawa parti itu memang sudah meletakkan orang Melayu sebagai calon tetapi tak dapat berbuat apa-apa kerana calon tersebut kalah,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun yakin betapa rakyat di negara ini sudah cukup arif untuk membuat penilaian.
“Dalam keadaan pelbagai kaum hidup secara bersederhana, DAP itu sendiri sudah dicap dalam minda orang ramai sebagai kumpulan agak ekstrem kepada kaum Cina,” katanya. – KOSMO! ONLINE