IPOH – Seseorang pemimpin tidak seharusnya mengugut serta meninggalkan parti masing-masing sekiranya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekiranya pemimpin tersebut berbuat demikian malah menjadi calon bebas, ia menunjukkan golongan tersebut hanya berjuang untuk dirinya sendiri.
“Pada saya, mana-mana ahli tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti dan kalau ada dalam kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti jika tidak dicalonkan dan menjadi calon Bebas, jelas bahawa pemimpin itu hanya berjuang untuk diri sendiri.
“Mereka tidak berjuang untuk kepentingan parti yang pernah diwakilinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah Perak Youth Center (PYC) di Tambun di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali seakan-akan memberi bayangan akan menjadi calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan oleh PN pada PRU15.
Noor Azmi dalam sidang akhbar semalam memaklumkan bahawa beliau akur sekiranya tidak dicalonkan bertanding, namun memberi bayangan akan bertanding bebas atas faktor seperti pengundi tempatan mahukan calon anak tempatan.
Tambah Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh Noor Azmi.
Mengulas tentang khabar angin Pas mahu meletakkan calon mereka di Parlimen Bagan Serai, beliau menegaskan bahawa keputusan untuk meletakkan calon adalah keputusan parti.
Ujarnya, sebagai ahli yang mendokong perjuangan PN, semua pihak mesti mengikut keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak parti.
“Saya tidak mahu memberi ulasan mengenai siapa yang bakal menjadi calon di Bagan Serai namun saya percaya kalau Noor Azmi faham bahawa kita perlu mengikut keputusan parti, tentunya beliau juga faham bahawa sesiapa juga yang menjadi calon perlulah kita sokong dan pastikan mendapat kejayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE