KUALA TERENGGANU – Seramai 26,826 keluarga dalam kalangan asnaf fakir miskin di Terenggganu menerima bayaran tunai sekali bayar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, bantuan tunai terbabit merupakan inisiatif pihaknya untuk membantu golongan terbabit meringankan beban kos sara hidup.
Beliau berkata, pihaknya sedar kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini telah mengecilkan kuasa beli golongan asnaf terbabit.
“Setiap isi rumah yang mempunyai tiga orang ke bawah menerima bantuan tunai sebanyak RM800.
“Bantuan tunai RM1,000 pula diberikan kepada isi rumah seramai sekurang-kurangnya empat orang,” katanya pada program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2022 di Kampung Atas Tol di sini hari ini.
Ahmad Azrin berkata, isi rumah terbabit juga menerima bantuan bakul makanan berupa barang keperluan asas seperti beras, minyak masak botol, garam, gula, biskut dan pek minuman.
Tambah beliau, secara keseluruhan, Maidam memperuntukkan lebih RM23.6 juta sebagai agihan bantuan tunai kepada golongan asnaf miskin di seluruh negeri ini. – KOSMO! ONLINE