PETALING JAYA – Lima penjawat awam ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong di sini, kelmarin.
Dalam serbuan Ops Noda pada 11.45 malam itu, pelbagai jenis dadah seberat 13.9 gram turut dirampas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan.
“Operasi dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
“Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5, 7.38 gram dan ganja anggaran berat 5.65 gram.
“Ujian saringan urin mendapati empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala seorang lagi suspek positif ketamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada lima hingga 10 orang pengguna dadah.
“Polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah yang diperolehi.
“Semua suspek ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tiga hari bermula semalam,” katanya.
Kes itu katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiga lelaki Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan turut ditahan.
“Kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib.
“Manakala pusat hiburan terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan rampasan itu atau sebarang kesalahan melibatkan dadah untuk salurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE