KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas digilis sekurang-kurangnya lima kenderaan di Kilometer 428.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Jeram di sini malam tadi.
Sewaktu kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa yang masih belum dikenalpasti identitinya dikatakan berjalan kaki di tengah-tengah lebuh raya berkenaan tanpa diketahui puncanya.
Salah seorang pengguna lebuh raya terlibat, Muhammad Zulkifli Ngah, 26, berkata, sewaktu kejadian, dia yang memandu kereta Proton Waja dalam perjalanan ke rumah kawannya di Bukit Besi, Dungun dari Gemuroh, Kuala Nerus.
Dia berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia perasan kehadiran seorang lelaki berkain pelikat yang berjalan di tengah-tengah lebuh raya.
“Saya cuba mengelak dengan membelok kereta ke arah kanan namun gagal lalu merempuh lekaki itu dari arah belakang.
“Impak rempuhan itu menyebabkan tubuh lelaki tersebut terpelanting ke cermin hadapan kereta saya sebelum tercampak kira-kira 300 meter ke hadapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Muhammad Zulkifli berkata, kemalangan itu menyebabkan cermin hadapan kereta Proton Wajanya pecah selain kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan sisi kiri kenderaannya.
Tambah pengendali jentera berat berkenaan, mayat mangsa kemudiannya telah digilis beberapa kenderaan lain termasuk sebuah lori.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian. – KOSMO! ONLINE