GENEVA – Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendedahkan bahawa kemusnahan akibat banjir menyebabkan lebih 3.4 juta penduduk hilang tempat tinggal di barat dan tengah Afrika, lapor akhbar Saudi Gazette.
Menurut UNHCR kelmarin, banjir terburuk dalam tempoh satu dekad yang melanda Nigeria telah mengorbankan beratus-ratus orang dan menyebabkan 1.3 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Bencana itu turut menjejaskan lebih 2.8 juta orang di Nigeria yang memiliki populasi 218 juta penduduk.
Mereka yang terselamat terpaksa berlindung di kawasan lebih tinggi kerana banjir menenggelamkan tanah ladang dan infrastruktur awam.
Ramai mangsa banjir terpaksa tinggal di kem-kem pelarian dalam keadaan bersesak. Kem-kem tersebut sebelum ini dibina bagi menempatkan penduduk yang melarikan diri daripada keganasan di beberapa kawasan di Nigeria.
“Krisis iklim sedang berlaku dan memusnahkan mata pencarian penduduk, mengganggu jaringan keselamatan makanan, memburukkan konflik dan mendorong perpindahan.
“Hubung kait antara perubahan iklim dan kehilangan tempat tinggal adalah sangat jelas serta semakin buruk,” kata jurucakap UNHCR, Olga Sarrado.
Agensi itu menyatakan, kerajaan Chad mengisytiharkan darurat selepas banjir menjejaskan lebih sejuta orang di negara itu.
Banjir juga meragut ratusan nyawa dan menyebabkan beribu-ribu orang hilang tempat tinggal di Niger, Mali dan Burkina Faso, kata UNHCR.
Perubahan cuaca drastik menyebabkan fenomena hujan lebat di Afrika Barat dan kemarau paling buruk dalam tempoh 40 tahun di Tanduk Afrika.
Nigeria dilanda banjir setiap tahun, selalunya akibat kelemahan infrastruktur dan ketidakpatuhan kepada garis panduan alam sekitar. – Agensi