PETALING JAYA – Tidak naik angin, namun pelakon veteran Kazar Saisi berharap netizen lebih beradab dalam memberikan komen berhubung isu pergolakan rumah tangga pengarah Syamsul Yusof dengan isteri, Puteri Sarah yang dikatakan berpunca daripada anak perempuannya, Ira Kazar.
Enggan mengulas lanjut, Kazar atau nama sebenarnya Kazaruddin Saisi, 63, berkata tidak wajar untuknya mengeluarkan komen memandangkan kes tersebut masih dalam proses mahkamah.
“Tak tahu lah, tak nak komen apa kerana masih dalam proses di mahkamah. Lagipun ini bukan hal saya.
“Ini kerja Allah kita tak boleh kata apa, semua pun kena tanya Dia,” ulasnya pendek usai Anugerah Seri Angkasa 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam tadi.
Kazar hadir selepas tercalon dalam kategori Anugerah Pelakon Komedi Televisyen Terbaik yang dimenangi Noorkhiriah.
Sungguhpun begitu, Kazar mengharapkan yang terbaik dan semoga apa yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik.
“Harapan saya, kalau boleh berdamailah. Bukan masalah besar sangat. Damai sahajalah.
“Saya nasihat pada netizen jangan terlalu kasar sangat. Komen yang baik-baik, ini semua kerja Tuhan.
“Ira pula kami satu keluarga menyokong dan sentiasa berada disisinya,” tambahnya.
Pada 30 Jun lalu, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira yang didakwa mengganggu rumah tangganya sejak empat tahun lepas.
Malah, pelakon itu juga mendapatkan perintah interim injuksi kepada pihak defendan berhenti meluah atau menyebarkan sebarang gangguan dalam media sosial.
Pada akhir Julai, Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail mengesahkan Ira Kazar hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga membabitkan Sarah dan Syamsul.
Ira disiasat berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga antara Puteri Sarah dengan Syamsul berlarutan sejak empat tahun lalu selain dia mengesahkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung gara-gara gangguan orang ketiga. – KOSMO! ONLINE