fbpx

Kakitangan hospital rosak ‘kolam’ Deepavali dipanggil polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tersebut yang tular di media sosial.

KLANG – Seorang kakitangan sebuah hospital pakar swasta di daerah ini dipanggil memberikan keterangan selepas tular merosakkan hiasan lantai tradisional sempena Deepavali dengan berjalan kasut di atasnya.

Aksi lelaki yang disifatkan tidak menghormati kaum tular menerusi video berdurasi 37 saat di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, video tersebut dikesan pada pukul 7.45 malam semalam sebelum laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

“Kakitangan itu dipanggil memberikan keterangan esok dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tingkah laku atau tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Dalam pada itu, Hospital Pakar KPJ Klang dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah melancarkan siasatan dalaman terhadap video tersebut.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil sekiranya kakitangan itu terlibat.

“KPJ Klang tidak membenarkan sebarang tindakan tidak hormat dalam kalangan kakitangan di dalam pekarangan hospitalnya.

“Selain itu, KPJ Klang komited pada tahap profesionalisme tertinggi dan kami tidak berkompromi dengan nilai etika,” jelasnya.

Kosmo! Online terdahulu melaporkan tindakan seorang lelaki merosakkan hiasan lantai tradisional sempena perayaan Deepavali ataupun dipanggil kolam, menggunakan kaki dikecam orang ramai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI