GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot yang dinaiki empat kru warga Indonesia selepas disyaki menceroboh perairan negara ini pada Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 53.7 kilometer barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 1.10 tengah hari ketika melakukan aktiviti menangkap ikan semasa rondaan rutin Op Tanjung dijalankan.
“Ketika pemeriksaan, empat kru termasuk tekong berusia 27 hingga 47 tahun itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Kapal Maritim (KM) SIKUAT mengusir tiga bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi Jumaat lalu setelah dikesan berada di kawasan “Unresolved Maritime Boundary” kira-kira 148 kilometer dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut Malaysia dan Indonesia.
“Bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya turut menahan sebuah bot penumpang yang dalam perjalanan menghantar tiga pekerja yang bertugas di pelantar kabel di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 1.1 kilometer nautika timur laut jeti Polis Marin Batu Uban, Jumaat lalu.
“Pemeriksaan mendapati, nama nakhoda bot tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan dan disyaki melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak pegawai pelabuhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE