LONDON – Penjaga gol Manchester United, David De Gea tidak akan beraksi bersama Sepanyol di pentas Piala Dunia Qatar 2022 bermula 20 November ini.
Ia selepas nama De Gea, 31, dilaporkan tersisih daripada senarai awal 55 pemain yang diumumkan oleh Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique sebelum 26 barisan terbaik diumumkan kelak.
Walaupun saiz skuad yang besar, tetapi ia masih tiada ruang buat De Gea berbanding tiga lagi penjaga gol kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersenarai dalam skuad La Roja.
Enrique dikatakan menyenaraikan lima penjaga gol dengan tiga daripadanya hampir pasti tersenarai ke Qatar iaitu Unai Simon (Athletic Bilbao), Robert Sanchez (Brighton) dan David Raya (Brentford).
Pengendali berusia 52 tahun itu juga dikatakan menyenaraikan seorang lagi penjaga gol dari EPL iaitu Kepa Arrizabalaga dari Chelsea dan David Soria (Getafe) jika berlaku sebarang kecederaan.
Berita itu sememangnya mengejutkan ramai pihak memandangkan De Gea sudah beraksi 16 perlawanan dalam semua kejohanan bersama United termasuk 11 aksi EPL dan lima Liga Europa.
Sebagai rekod, kali terakhir De Gea menyarung jersi Sepanyol adalah sewaktu bermain 90 minit permainan dalam kekalahan 0-1 kepada Ukraine pada aksi Liga Negara-Negara Eropah dua tahun lalu.
Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu juga hanya memanaskan bangku simpanan apabila sekali lagi dipanggil untuk aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Sweden pada November tahun lalu. – AGENSI