Penumpang-penumpang feri mempersoalkan keselamatan mereka apabila pengangkutan itu sudah dua kali terkandas dekat muara Kuala Kedah.
Kejadian terbaharu kelmarin melibatkan seramai 133 penumpang yang dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi.
Insiden tersebut berlaku dipercayai akibat kerosakan pada kipas enjin feri selepas tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan.
Kejadian pertama kurang seminggu yang melibatkan jumlah penumpang lebih besar seramai 547 orang.
Penumpang, Hazyanti Abu Hasim, 43, yang berasal dari Pulau Langkawi berkata, dia tidak menyangka akan menjadi salah seorang mangsa feri terkandas.
“Pada masa itu, feri baru berlayar kira-kira lima minit dan saya sudah mahu terlelap sebelum terdengar bunyi kuat seperti feri berlanggar sesuatu dan bergegar.
“Saya bersama ibu berusia 61 tahun dan dua anak berusia 14 dan 22 tahun mula rasa cemas sebelum kami diminta memakai jaket keselamatan,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini malam kelmarin.
Katanya, kesemua penumpang kemudian dipindahkan ke bot Maritim Malaysia (APMM) dan nelayan untuk dibawa ke terminal Kuala Kedah.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya, namun pada masa itu saya rasa tenang sedikit kerana kejadian berlaku tidak jauh dari terminal iaitu pada jarak 500 meter sahaja,” ujarnya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa dapat memastikan alur pelayaran selamat untuk dilalui feri bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.
“Carilah penyelesaian terbaik. Jangan sampai ada kemalangan jiwa baru nak kalut bertindak,” tambahnya.
Seorang lagi penumpang, Iswardi Rokhin, 42, berkata, dia dan isteri, Norsazlina Mat Azlan, 41, agak risau apabila terpaksa menaiki feri ke Pulau Langkawi selepas mendengar berita feri terkandas kira-kira lima hari lalu.
“Kami tiada pilihan kerana perlu menghantar anak perempuan masuk ke Kolej Vokasional Langkawi,” ujarnya.
Terdahulu, Ahad lalu, sebuah feri dari Langkawi turut terkandas di kedudukan sama apabila cuba mengelak kabel tersebut.