WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) akan menyediakan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai AS$275 juta (RM1.29 bilion) bagi membantu Ukraine memerangi pencerobohan Russia, kata Pentagon kelmarin.
Pakej itu termasuk peluru untuk sistem pelancar roket tepat HIMARS, pelbagai jenis peluru artileri 155 milimeter, sistem antiperisai, peluru senjata ringan dan empat antena komunikasi satelit, kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh kepada wartawan.
“Kami melihat infrastruktur Ukraine dan grid elektrik disasarkan oleh Russia dan antena ini menyediakan keupayaan tambahan di lapangan pada masa kritikal apabila infrastruktur Ukraine diserang,” kata Singh.
Bagaimanapun, antena itu bukan menjadi pengganti kepada perkhidmatan akses internet Starlink yang disediakan oleh syarikat SpaceX milik Elon Musk.
“Ia tiada kaitan dengan akses kepada Starlink,” katanya.
Awal bulan ini Musk berkata, SpaceX tidak dapat meneruskan pembiayaan Starlink di Ukraine. Perkembangan itu mencetuskan ketidakpastian berhubung kesinambungan Starlink yang sebelum ini menyediakan keupayaan komunikasi penting untuk tentera Kiev.
Bagaimanapun, Musk kemudian mengubah fikiran dan memberitahu, SpaceX akan terus membiayai Starlink sekali pun tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikatnya.
Pakej bantuan terbaharu itu menjadikan komitmen bantuan keselamatan Washington untuk Ukraine meningkat kepada lebih AS$18.5 bilion (RM87.37 bilion) sejak awal 2021, dan hampir AS$18 bilion (RM85 bilion) sejak Russia menyerang Kiev pada Februari lalu. –AFP