BANGKOK – Lebih satu juta pelancong Malaysia memasuki Thailand sepanjang tahun ini, manakala pihak berkuasa pelancongan berharap bilangan itu akan terus meningkat menjelang akhir 2022, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Seramai 1,041,293 pelancong Malaysia tiba di Thailand untuk tempoh antara 1 Januari hingga 7 Oktober lalu. Mereka dilaporkan melawat lebih banyak wilayah ketika di Thailand berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan berkata, kebanyakan pelancong Malaysia sebelum ini tinggal di Songkhla semasa percutian mereka. Bagaimanapun, mereka kini meneroka Krabi, Phatthalung, Phuket, Satun, Chiang Mai dan Chiang Rai.
Pelancong Malaysia menyumbang kira-kira 26.6 bilion baht (RM3.3 bilion) dalam pendapatan pelancongan di Thailand, lapor Biro Berita Nasional Thailand. TAT berkata, pihaknya berharap dapat meningkatkan jumlah pelancong Malaysia sehingga 1.8 juta menjelang akhir tahun ini.
Jumlah pelancong Malaysia dijangka melonjak apabila Thailand memasuki musim sibuk yang bertepatan dengan cuti sekolah di Malaysia serta perayaan Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu.
Tanes berkata, TAT akan terus mengadakan aktiviti promosi pelancongan untuk mencapai matlamat tersebut.
Menurut TAT pada bulan lalu, rakyat Malaysia merupakan kumpulan pelancong terbesar di Thailand pada tahun ini. Tiga negara seterusnya dengan bilangan pelancong paling ramai ialah India, Laos dan Kemboja.
Lebih lima juta pelancong asing dilaporkan tiba di Thailand antara 1 Januari dan 8 September lalu. TAT menganggarkan jumlah pelancong akan mencecah 10 juta orang berdasarkan penerbangan tambahan dan tempahan hotel untuk tiga bulan akan datang. – Agensi