fbpx

K2

Rona neutral jadikan kediaman lebih tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARAPAN warna-warna neutral yang mendominasi kediaman ini mencetuskan kedamaian.

APABILA menata hias sesebuah kediaman, pemilik sering memilih rona-rona selamat seperti putih, kelabu, beige dan juga hitam sebagai rona utama, kerana efeknya yang tenang dan sentiasa nampak evergreen.

Rona-rona tanah seperti coklat juga sering dilihat sebagai rona yang mendominasi kediaman, khususnya menerusi pemilihan perabot daripada material kayu.

Bagi pasangan Erra Natasha Azman, 27, dan suami, Mohamed Fitri Mohd. Daut, 35, pemilihan rona neutral pada sebuah kediaman jenis teres dua tingkat di Sungai Buloh, Selangor yang didiami sejak dua tahun lalu itu adalah agar kediaman tersebut nampak tenang dan selesa.

Idea yang diperoleh daripada aplikasi Pinterest dan juga Instagram diterjemahkan wanita yang mesra disapa sebagai Natasha itu dalam tata hias kediamannya.

“Saya mendiami kediaman ini sejak Oktober 2020, iaitu selepas berkahwin dengan suami.

“Memandangkan kami kini sudah memiliki kediaman sendiri, maka kami menghiasnya mengikut cita rasa bersama dan cukup sukakan hasilnya,” ujarnya.

Tambah Natasha, jika berbicara tentang konsep, dia tidak meletakkan konsep tertentu pada dekorasi kediamannya itu.

“Saya sejujurnya tidaklah menetapkan konsep tertentu, namun jika boleh diciri atau diklasifikasikan, mungkin kediaman ini konsepnya adalah kontemporari neutral, yang mana warna-warna neutral seperti beige dan putih serta sedikit rona coklat gelap daripada penggunaan perabot kayu mendominasi setiap sudut kediaman.

“Bagi saya, apa yang penting adalah hiasannya itu sedap mata memandang dan mewujudkan sebuah kediaman yang tidak begitu serabut dengan penggunaan perabot yang terlalu banyak,” ujarnya.

Saat kaki melangkah masuk ke kediaman pasangan itu, limpahan rona putih yang mendominasi kediaman mewujudkan suasana damai dan selesa.

Percikan rona kayu gelap pada meja kopi dan juga meja televisyen memberi keseimbangan pada rona lembut sofa dan permaidani ruang tamu sekali gus menjadikan hiasan kediaman tampak memukau.

Bagi sudut meja makan pula, pasangan itu sepakat memilih meja makan jenis kayu dengan padanan kerusi rona gelap lantas menjadikan sudut itu tampil menyerlah.

Bagi mengelak dinding ruang itu nampak terlalu polos pula, Natasha dan suami menggantungkan beberapa bingkai gambar tanpa corak, namun dalam rona warna yang hampir sama bagi mencipta kesenadaan.

KAMAR tidur yang diserlahkan dengan pemilihan sarung bantal bermotif flora

Hiasan pokok kecil di atas meja pula dipilih bagi mewujudkan elemen semula jadi pada dekorasi kediaman.

Menjengah ke aras kedua kediaman itu, Natasha teruja menunjukkan ruangan membaca yang diwujudkan di situ kerana minatnya yang mendalam terhadap aktiviti membaca.

“Ruangan membaca di aras ini adalah ruangan kegemaran saya secara peribadi memandangkan di sinilah saya paling banyak menghabiskan masa terluang.

“Selain membaca, ruangan ini juga merupakan tempat saya berehat sambil menonton televisyen,” kongsinya.

Deretan buku pelbagai genre yang disusun kemas pada sebuah rak besar rona hitam menyerlahkan ruangan itu.

Pemilihan sofa hitam pada ruangan tersebut juga menjadikan ruangan kecil itu nampak elegan dan sesuai dijadikan ruangan santai.

Tidak keberatan menunjukkan hiasan pada ruangan tidur mereka, pasangan itu masih mengekalkan rona lembut pada tata hiasnya.

Penggunaan perabot kayu rona coklat gelap memberikan karakter pada ruangan itu yang turut diserlahkan dengan pemilihan sarung bantal bermotif flora.

Sama seperti beberapa sudut lain, pasangan itu turut meletakkan hiasan pokok-pokok kecil dalam ruangan bilik tidur bagi menyerlah elemen semula jadi.

Ujar Natasha, dia dan suami menghabiskan sekitar RM30,000 bagi kos dekorasi kediaman, tidak termasuk kos ubah suai (renovation).

Tambahnya lagi, dia cukup berpuas hati dengan konsep kediamannya itu dan tidak merancang untuk membuat sebarang pengubahsuaian lain kerana bakal berpindah ke kediaman lain dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Setakat ini, saya gembira dengan hiasan kediaman ini dan tidak merancang mengubah apa-apa.

“Hal ini kerana kami merancang untuk berpindah ke lokasi lain dan kediaman ini mungkin akan dijual atau pun disewakan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI