KUANTAN – Pahang yang menjadi benteng terakhir Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu terus menjadi kubu kuat BN dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam PRU15 kali ini, UMNO perlu menguasai semua kerusi DUN dan Parlimen negeri ini seterusnya menguasai Persekutuan bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil.
“Saya ucap tahniah kepada Pahang, dahulu Johor dikatakan benteng terakhir dan kubu kuat BN tetapi dalam PRU14 terbukti kubu kuat dan benteng terakhir BN adalah Pahang.
“Jadi saya berharap selepas 19 November ini, Pahang dan kerajaan Persekutuan akan dikuasai BN, kuasa tentukan kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara terletak pada tuan puan (rakyat),”katanya pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri bagi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan dan rakyat mendapat pelbagai nikmat pembangunan negara, perlu mempunyai kerajaan yang kukuh dan terbukti mampu membela rakyat.
Justeru katanya, UMNO dan BN perlu menjadi parti dominan di Putrajaya dengan menguasai kerusi yang banyak dalam memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
“Kalau kita setakat menang 42 kerusi, kita terpaksa menumpang kepada orang lain, sebab itu kita mesti menjadi dominan untuk menjadi kerajaan yang stabil kerana dengan kerajaan yang stabil kita mampu membentuk kemakmuran,”katanya.-KOSMO! ONLINE