KOTA BHARU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mempertahan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekali gus menafikan desas-desus mengatakan Abdul Hadi tidak akan bertanding pada pilihan raya kali ini.
“Saya tidak tahu pun ada desas-desus yang mengatakan beliau (Abdul Hadi) tidak akan bertanding pada PRU15. Hari ini, baru saya dengar hal ini.
“Saya boleh mengesahkan di sini bahawa beliau akan mempertahankan kerusi yang disandangnya pada PRU15 nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli di sebuah resort di Pantai Cahaya Bulan di sini sebentar tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abdul Hadi menang di Parlimen Marang dengan 53,749 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Mohd. Nor Endut daripada Barisan Nasional dan calon Pakatan Harapan, Zarawi Sulong.
Berdasarkan rekod, Abdul Hadi telah bertapak di Marang sejak tahun 1978 iaitu ketika kawasan tersebut masih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dinaik taraf kepada Parlimen pada 1986.
Sepanjang 10 penggal bertanding, Abdul Hadi cuma tewas tiga kali iaitu pada tahun 1978, 1986 dan 2004. – KOSMO! ONLINE