PETALING JAYA – Jodoh masih kuat walaupun setelah sekian lama berpisah, pengantin warga emas viral bersanding hari ini setelah selamat diijabkabul pada 16 Oktober lalu.
Video ketika majlis persandingan kedua mempelai berpakaian baju songket biru tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @Khai_nisa91, menerima tontonan sebanyak 901,000 setakat ini.
“Alhamdulillah, berkesempatan meraikan pasangan atok viral. Tahniah disatukan semula buat kali kedua selepas 63 tahun berpisah,” kapsyen pemilik akaun dalam hantaran videonya.
Pengantin lelaki, Mahmood Mamat, 84, dan pengantin perempuan, Fatimah Mohd Nor, 80, dikatakan pernah berkahwin pada tahun 1958 dan berpisah setahun kemudian.
Menurut perkongsian cucu mereka @cikwawa sebelum ini, mereka dikurniakan seorang anak dan berpisah kerana Mahmood berhijrah ke Pahang manakala, Fatimah berada di Kelantan.
“Tok Ayah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Tok Mek setelah 63 tahun tidak bertemu.
“Tok Mek bersetuju dan pihak keluarga juga tidak membantah malah menyokong keputusan itu,” katanya dalam hantaran di TikTok. -KOSMO! ONLINE.