KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas dan juga personaliti televisyen Ustaz Don Daniyal mengakui tidak ada sekelumit pun rasa ralat atau kecewa dalam dirinya atas isu membabitkan beberapa rakan seperjuangannya yang terpalit dengan kontroversi tidak enak sejak beberapa waktu lalu.
Malah Don Daniyal atau nama lengkapnya Don Daniyal Don Biyajid berkata, kontroversi yang membabitkan beberapa rakan perjuangannya dalam institusi dakwah itu sebagai ujian untuk menguji persahabatan mereka.
Bercakap kepada Kosmo! Online, Don berkata dia menanamkan konsep ‘brotherhood’ dan enggan menghakimi atas apa yang berlaku ke atas beberapa nama pendakwah yang sebelum ini terpalit dengan isu ‘memualkan’ sehingga menjadi buah mulut masyarakat.
“Sejujurnya saya tidak rasa ralat atau kecewa dengan apa yang berlaku kerana itu adalah ujian persahabatan. Saya bersahabat dengan semua ustaz dan mengamalkan konsep ‘brotherhood’.
“Saya juga tidak mahu menghakimi mereka. Malah dalam Islam sendiri, Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk husnudzon (bersangka baik) pada Allah SWT dan berlapang dada,” katanya Kepada Kosmo! Online.
Tambah pendakwah bebas berusia 37 tahun itu, walaupun ada dalam kalangan rakannya terpalit dengan isu-isu panas, dia tetap menganggap mereka sebagai saudara.
“Mereka tetap saudara saya. Kalau orang nak hina atau apa sahaja, saya akan sentiasa ada untuk mereka.
“Saya ada ketika mereka malu, sedih dan ketawa bersama-sama. Sebab kami adalah bersaudara. Malah Rasulullah sendiri memperjuangkan konsep ‘brotherhood’,” katanya.
Ketika disoal sama ada golongan pendakwah yang terlibat dengan isu-isu jelik itu layak digelar sebagai penunggang agama, Don yang ditemui ketika majlis sidang media Konsert Agungnya Cinta di sini, semalam menepis sekeras-kerasnya istilah tersebut digunakan kepada mereka.
“Kita tidak boleh tuduh mereka sebagai penunggang agama. Kita kena tahu bezakan antara penunggang agama dan juga ‘pencemaran agama’.
“Pencemaran adalah disebabkan atas perbuatan kita sendiri. Penunggang agama pula, mereka yang tidak percaya dengan agama tetapi menggunakan agama untuk mendapatkan sesuatu.
“Jadi, apa yang berlaku ke atas beberapa pendakwah bebas sebelum ini, mereka bukannya penunggang agama, tetapi hanya pencemaran sahaja. Ibaratnya ‘jerebu’ yang berlaku dalam institusi asatizah,” jelasnya.
Sejak beberapa waktu lalu, beberapa nama besar pendakwah bebas bergelar selebriti terpalit dengan isu-isu dangkal seperti kecurangan dalam perkahwinan sehinggalah kepada kes salah laku seksual.
Isu yang berlaku itu telah menjadi topik utama media sehingga menjadi perdebatan dalam kalangan netizen apabila mula menilai kelayakan individu tersebut diangkat sebagai contoh dalam bidang agama. – KOSMO! ONLINE