KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke final pertama Jelajah Dunia musim ini selepas menewaskan gandingan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pierre de Coubertin, Paris, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menampilkan aksi cukup bertenaga bagi mencatat kemenangan straight-set 21-13, 21-17.
Persefahaman cukup baik ditampilkan Pearly-Thinaah apabila menguasai sepenuhnya perlawanan menerusi pukulan-pukulan smash serta helah yang berjaya mengelirukan beregu No.138 dunia itu.
Walaupun turun dengan status pemain bukan pilihan, namun Pearly-Thinaah bermula agresif pada set pertama apabila membuatkan Ha Na-So Hee ‘lemas’ untuk membalas setiap pukulan dibuat sehingga membolehkan mereka selesa memimpin permainan.
Beregu Korea itu turut menampilkan aksi terbaik bagi mengejar kedudukan Pearly-Thinaah, namun ia belum cukup untuk menghalang kemenangan 21-13 beregu No.11 dunia itu di set pertama.
Memasuki set kedua, Ha Na-So Hee menampilkan aksi lebih berbeza apabila mendahului perlawanan 7-5 sebelum Pearly-Thinaah kembali memperkemaskan permainan mereka dan berada di depan 11-10.
Bagaimanapun, perlawanan kembali sengit apabila Ha Na-So Hee mengubah strategi permainan dan kembali mendahului perlawanan 15-12, sekali gus meletakkan Pearly-Thinaah dalam tekanan.
Enggan perlawanan diheret ke set penentuan, Pearly-Thinaah mula mengeluarkan aksi ‘magis’ terutama dari segi pertahanan dan mula mengutip mata demi mata sebelum melengkapkan kemenangan 21-17.
Menanti Pearly-Thinaah pada perlawanan akhir esok adalah beregu No.7 dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara yang melangkah ke final selepas menewaskan rakan sepasukan, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-14, 25-23. – KOSMO! ONLINE