COLOMBO, Sri Lanka – Sebuah klip video yang memaparkan aksi seekor monyet memberi ciuman pada jasad seorang lelaki semasa hari pengebumiannya, menjadi tular di media sosial dengan orang ramai tersentuh melihat paparan tersebut, lapor akhbar The Sun.
Peetambaram Rajan, 56, meninggal dunia pada Isnin lalu selepas jatuh sakit secara tiba-tiba di rumahnya di Batticaloa, Sri Lanka.
Semasa hidupnya, Peetambaram dikenali sebagai seorang lelaki yang gemar memberi makan, buah dan biskut kepada monyet itu setiap hari sehinggakan kedua-duanya menjadi mesra.
Ketika jasad lelaki tersebut terbaring sebelum disemadikan, monyet itu tiba untuk memberikan ciuman terakhir.
Berdasarkan klip video yang tular, monyet itu menghampiri keranda Peetambaram yang terbuka dan mendekatkan dagunya.
Ia kemudian memberikan ciuman di kepala Peetambaram sebelum penduduk terpaksa membawa haiwan tersebut pergi dari situ ketika ia cuba mencapai tangan lelaki berkenaan, seolah-olah ingin membawanya pergi.
Video itu menerima pelbagai komen daripada netizen terutamanya para pencinta haiwan.
“Amat menyentuh perasaan,” kata seorang netizen.
“Saya menangis melihatnya. Itu pun masih ada orang yang berkata haiwan tidak mempunyai perasaan seperti manusia,” kata netizen lain. – AGENSI