JOHOR BAHRU – Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah jentolak di tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.02 pagi.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 51 tahun telah dihempap sebuah jentolak.
“Difahamkan, mangsa dipanggil ke lokasi untuk membaiki jentolak tersebut yang telah rosak, namun ketika kerja dilakukan, jentolak itu jatuh dan menghempap mangsa.
“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas selain turut dibantu sebuah jengkaut. Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE