EINDHOVEN – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta akui seluruh pasukannya perlu mengembalikan semula kemahuan selepas dipalit kekalahan 0-2 kepada PSV Eindhoven pada aksi Liga Europa awal pagi semalam.
Walaupun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan The Gunners sebagai pendahulu kumpulan, Arteta dapat menyaksikan anak buahnya tidak begitu bersemangat hingga menyaksikan Joey Veerman dan Luuk De Jong menghasilkan gol penting buat tuan rumah.
Bagaimanapun, pengurus dari Sepanyol itu bertegas pemain perlu menunjukkan reaksi segera kerana sebelum ini Arsenal turut dipalit kecewa apabila sekadar seri 1-1 dengan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
“Ia pengakhiran kepada perjalanan yang cukup panjang. Kami tewas buat kali pertama dalam saingan Liga Europa dan sudah pasti sekarang adalah masa paling tepat untuk melakukan permulaaan semula.
“Tahniah kepada PSV yang membuktikan mereka adalah pasukan yang lebih baik. Mereka berhak untuk memenangi perlawanan ini dan sekarang adalah masa terbaik untuk kami analisa apa yang berlaku,” katanya.
Ini juga kali pertama Arsenal tidak mampu menghasilkan gol dalam 17 perlawanan pentas Eropah di gelanggang lawan.
Ketika ini, Arsenal berada di tangga teratas Kumpulan A dengan 12 mata hasil empat kemenangan. – AGENSI