MELAKA – Seorang lelaki di Tangga Batu di sini mendakwa menjumpai fosil berupa gigi haiwan yang dipercayai dari zaman prasejarah ketika menjala di perairan muara Sungai Lereh, tiga bulan lalu.
Menurut Suhaimi Hussin, 43, berdasarkan kepada struktur fosil tersebut, dia percaya ia merupakan fosil bahagian gigi sejenis haiwan pemangsa pada zaman purba.
“Saya terkejut apabila ‘fosil’ ini tersangkut di dalam jala dan apabila ia dibersihkan, saya percaya objek itu adalah bahagian gigi sejenis haiwan pemangsa.
“Saya ada cuba mencari maklumat mengenai penemuan ini di internet, tetapi gagal. Yang pasti fosil itu bukan spesies ikan kerana struktur giginya yang besar.
“Selain fosil ini, saya menjumpai beberapa kepingan cengkerang seakan-akan penyu, namun mempunyai struktur tajam pada bahagian tepi,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Suhaimi memberitahu, selepas menjumpai fosil gigi itu, dia telah menghubungi sebuah universiti yang menjalankan kajian paleontologi tentang fosil haiwan untuk berkongsikan penemuan tersebut, namun usahanya itu tidak mendapat perhatian sehingga kini.
“Saya juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk membuat kajian ke atas fosil ini yang telah lama saya temui.
“Bagaimanapun, ia mestilah satu usaha sama yang dipersetujui dan memberikan pulangan kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.